Harini saya nak membebel panjang sikit.

Di zaman Millenial ini, biasalah isteri bekerja untuk meringankan bebanan suami. Tetapi ada sesetengah golongan lelaki di luar sana yang sekarang ini mengambil jalan mudah untuk menjadi surirumah kerana isteri mempunyai kerja yang lebih bagus, gaji lebih tinggi dan kehidupan yang lebih selesa. Walaupun isteri ada kerja bagus, gaji lebih tinggi…ini tidak bermaksud suami boleh melepaskan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah kepada keluarga.

Nafkah isteri dan anak-anak masih satu tanggungjawab wajib yang mesti disediakan oleh suami.

APA TU HARTA SEPENCARIAN?

OK, harta sepencarian bermaksud harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan. Ini termasuk aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan dan telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi atau dengan usaha bersama.

TUNTUTAN
Jadi dalam setiap kes tuntutan harta sepencarian, pihak yang menuntut harta sepencarian ini mesti membuktikan kepada mahkamah bahawa dia ada memberi sumbangan terhadap harta terrsebut.

Jadi, mulai hari ini, apa sahaja pembelian – simpan dokumen, simpan resit. Ini untuk dibuat sebagai bukti di belakang hari.

HUKUM SYARAK

Mengikut hukum syarak, suami tidak mempunyai hak ke atas harta isteri. Harta isteri adalah hartanya sendiri. Manakala isteri berhak mendapat saran nafkah daripada suaminya.

Hak dan kewajipan yang berbeza mengenai harta dan nafkah ada kaitan dengan pembahagian pusaka yang memberi bahagian yang lebih kepada lelaki daripada perempuan. Bahagian harta pusaka yang lebih kepada lelaki sebenarnya berhubung kait dengan kewajipan kewangan yang dikenakan atas kaum lelaki. Ia juga boleh dikatakan berkaitan dengan soal harta sepencarian.

Sumbangan kewangan pihak suami bagi belanja harian tidaklah boleh dianggap sebagai sumbangan kewangan terhadap harta yang diperoleh isterinya, kerana memang kewajipan suami menyara nafkah isteri dan anak-anaknya. Tetapi sumbangan kewangan pihak isteri bagi belanja harian rumah tangga patutlah dianggap sebagai sumbangan kewangan terhadap harta yang diperoleh suaminya, kerana bukanlah kewajipan isteri untuk menyara nafkah suami dan anak-anaknya.

Jangan memandai-mandai, cari orang pandai!

Perlu Tahu

inheritancekazmanmypusakaperlu tahupusaka